PKIPN Serah Memorandum Kepada KPKT, Gesa Siasat Dakwaan Penyalahgunaan Lesen Pemberi Pinjam Wang

 

PUTRAJAYA, 30 Julai – Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menggesa siasatan menyeluruh terhadap dakwaan penyalahgunaan lesen pemberi pinjam wang berlesen serta memperkukuh penguatkuasaan bagi melindungi hak peminjam.

Memorandum tersebut membangkitkan beberapa isu yang didakwa dihadapi peminjam, termasuk kadar faedah yang disifatkan melampau, penggunaan dokumen pinjaman yang mengelirukan, tekanan terhadap peminjam sehingga didakwa dipaksa menyerahkan rumah atau aset sebagai penyelesaian hutang, selain menggesa KPKT menyemak sama ada terdapat lesen pemberi pinjam wang yang disalahgunakan.



Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Joseph Prakash, berkata memorandum itu bukan bertujuan menuduh semua syarikat pemberi pinjam wang berlesen melakukan kesalahan, sebaliknya meminta KPKT meneliti aduan yang diterima serta menjalankan audit terhadap syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut.

“Kami bukan mengatakan semua syarikat pinjaman berlesen melakukan perkara seperti ini. Namun, kami percaya ada segelintir yang didakwa mengambil kesempatan terhadap peminjam sehingga menyebabkan mereka terus dibelenggu beban hutang.

“KPKT perlu menghantar pegawai untuk menjalankan audit terhadap syarikat-syarikat yang menerima aduan dan memastikan setiap pemegang lesen mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan memorandum di Lobi KPKT, Presint 4, di sini, hari ini.


Menurut Joseph, PKIPN menerima aduan daripada sekurang-kurangnya lima individu yang mendakwa berdepan situasi hampir sama, namun kebanyakan mereka enggan tampil kerana bimbang menerima ugutan atau tindakan balas.

Beliau berkata, hasil pemantauan dan aduan yang diterima mendapati terdapat peminjam yang terpaksa menjual rumah, kenderaan dan aset lain bagi melangsaikan hutang, namun masih gagal menyelesaikan pinjaman kerana jumlah tuntutan terus meningkat.


Joseph turut mendakwa terdapat syarikat yang mengenakan kadar faedah sehingga 10, 20 malah 50 peratus, selain menggunakan pelbagai bentuk tekanan terhadap peminjam.

“Kami juga menerima aduan bahawa ada peminjam diminta menandatangani dokumen kosong atau dokumen yang menyatakan jumlah pinjaman lebih tinggi daripada wang sebenar diterima.

“Dalam sesetengah kes, peminjam hanya mahu meminjam beberapa ribu ringgit, tetapi diminta menandatangani dokumen bagi jumlah yang jauh lebih besar sebelum wang diserahkan. Perkara seperti ini perlu disiasat secara menyeluruh,” katanya.


Beliau turut mendakwa terdapat mangsa Along yang dipaksa membuat bayaran harian sehingga RM500 dan terus diganggu sekiranya gagal membuat bayaran.

“Ada mangsa yang sudah membayar empat atau lima kali ganda daripada jumlah asal pinjaman, namun masih dituntut bayaran tambahan dan akhirnya berdepan risiko kehilangan aset. Keadaan ini amat membimbangkan dan memerlukan perhatian segera pihak berkuasa,” katanya.

Joseph berkata, terdapat juga dakwaan bahawa rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menjadi sasaran pihak tertentu yang menawarkan pinjaman mudah sebelum mengenakan kadar faedah tinggi dan tempoh bayaran balik yang singkat.


Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fina berkata, beliau membuat pinjaman sebanyak RM100,000 pada tahun 2015 bagi membantu perniagaan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa diminta menandatangani dokumen perjanjian yang menyatakan jumlah RM200,000 walaupun pinjaman sebenar yang dipohon hanyalah RM100,000.

“Saya ada bertanya kenapa jumlah dalam perjanjian RM200,000 sedangkan saya hanya meminjam RM100,000. Mereka beritahu ia hanya untuk tujuan rekod syarikat,” katanya.

Menurut Fina, beliau hanya menerima kira-kira RM92,000 selepas pelbagai potongan dibuat.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pinjaman itu beliau membuat bayaran ansuran bulanan seperti yang dipersetujui sehingga jumlah keseluruhan pembayaran mencecah kira-kira RM56,000.


Namun selepas gagal membayar ansuran selama dua bulan kerana perlu menanggung kos pembedahan ibunya, beliau mendakwa menerima surat tuntutan daripada peguam yang mengarahkannya membayar RM162,000.

“Saya bukan enggan membayar. Saya hanya memohon penangguhan selama dua bulan kerana ibu saya menjalani pembedahan, tetapi permohonan itu tidak mendapat maklum balas,” katanya.

Fina berkata, beliau kemudiannya membuat aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPKT, namun mendakwa pihak syarikat tetap meneruskan tindakan undang-undang terhadapnya.

Beliau turut mendakwa menerima pelbagai bentuk gangguan termasuk kehadiran individu di kediamannya, surat amaran serta tekanan berterusan sehingga menjejaskan kehidupan keluarganya.

Menurutnya lagi, beliau juga tidak dapat menjual hartanah bagi menyelesaikan hutang kerana mendakwa aset tersebut telah dijadikan cagaran tanpa disedarinya ketika menandatangani dokumen pinjaman.


Fina berkata, keluarganya sejak awal lagi berusaha menyelesaikan pertikaian itu secara baik tanpa melalui proses mahkamah yang berpanjangan.

Beliau berkata, selepas kesnya dibantu oleh Joseph pada 1 Julai lalu, beberapa rundingan telah diadakan dengan pihak syarikat bagi mencari penyelesaian.

“Keluarga saya memang mahu menyelesaikan kes ini. Hasil rundingan, jumlah tuntutan berjaya dikurangkan daripada sekitar RM100,000 kepada RM50,000, namun sehingga kini masih belum mencapai persetujuan.

“Saya percaya masih ramai lagi mangsa yang mengalami perkara sama, tetapi mereka tidak berani tampil kerana takut,” katanya.


Sehubungan itu, Joseph berharap KPKT dapat meneliti memorandum yang diserahkan serta menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua dakwaan yang dibangkitkan, termasuk menyemak sama ada terdapat penyalahgunaan lesen pemberi pinjam wang berlesen dan menambah baik mekanisme perlindungan pengguna.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat lesen atau undang-undang bagi memastikan hak peminjam terus dilindungi dan keyakinan orang ramai terhadap sistem pemberi pinjam wang berlesen dapat diperkukuhkan.



Comments