Kunjungan Hormat DPPUM ke MAIS Perkukuh Cadangan Jelajah “Sinar Cahaya Selangor 2026

SHAH ALAM, 30 Disember 2025 – Alhamdulillah, bersempena Selasa, 30 Disember 2025 bersamaan 9 Rejab 1447H, satu kunjungan hormat telah diadakan oleh Dewan Permuafakatan Usahawan Malaysia (DPPUM) ke Ibu Pejabat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Shah Alam, bagi membincangkan potensi kerjasama strategik berkaitan pembangunan ummah dan pemerkasaan program Islamik di Negeri Selangor.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Timbalan Presiden DPPUM, Tuan Ariff Fadli bin Abdul Wahab, yang mengemukakan cadangan serta idea pelaksanaan “Jelajah Sinar Cahaya Selangor 2026”, sebuah inisiatif jelajah berskala negeri yang dirangka bersama pihak MAIS serta melibatkan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 


Program ini turut diselaraskan dengan agenda promosi Melawat Selangor 2026

Menurut Tuan Ariff Fadli, Jelajah Sinar Cahaya Selangor 2026 dicadangkan sebagai platform bersepadu yang menekankan pembangunan agama, pendidikan, kebajikan, ekonomi ummah serta penyatuan masyarakat melalui pendekatan berfasa dan tersusun, selaras dengan garis panduan serta hala tuju yang ditetapkan oleh pihak MAIS.


Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Yang Dipertua DPPUM Wilayah Putrajaya, Al-Fadhil Ustaz Md Zawawi Ramli, yang juga merupakan Pengarah Acara NH Mall (Nur Haramain Worldwide), bersama Yang Dipertua DPPUM Wilayah Kuala Lumpur, Tuan Muzri. Hadir sama ialah wakil pengurusan acara, Puan Norazira, serta Dr. Siti Saidatul, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Tanjung Malim, selain beberapa pegawai latihan keusahawanan.


Perbincangan turut menumpukan aspek pendidikan dan kesenian kanak-kanak sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan ummah secara holistik, di samping usaha memartabatkan peranan MAIS sebagai institusi utama dalam mengurus dan menyelaras aktiviti berkaitan agama Islam di Selangor.


Antara fokus utama pertemuan ialah penyelarasan program agar setiap inisiatif yang dirancang mematuhi garis panduan MAIS, tidak bersifat kepada kepentingan organisasi semata-mata, sebaliknya memberi keutamaan kepada keperluan dan manfaat masyarakat secara menyeluruh. Selain itu, penekanan turut diberikan kepada peranan masjid dan surau sebagai pusat penyatuan ummah. 


Usaha mengimarahkan masjid melalui program penyatuan umat, termasuk penganjuran aktiviti kerohanian seperti Gema Selawat dan pemartabatan al-Quran, dicadangkan untuk diperluaskan secara berterusan di masjid, surau serta lokasi terpilih di tujuh daerah di Selangor bagi fasa pusingan pertama.


Pertemuan ini turut dilihat sebagai langkah penting ke arah pembangunan ekonomi ummah yang selaras dengan prinsip Syariah serta perundangan sedia ada, di mana semua pihak digesa agar merujuk dan bekerjasama rapat dengan MAIS dalam menentukan hala tuju perancangan ekonomi, pendidikan dan kebajikan umat Islam.


Pihak DPPUM dan NH Mall (Nur Haramain Worldwide) menyatakan harapan agar seluruh lapisan ummah dapat bersatu dan berganding bahu, menggembleng tenaga serta doa, demi mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebajikan dan perpaduan masyarakat majmuk.


Usaha ini selari dengan aspirasi Negeri Selangor dan negara Malaysia secara keseluruhan agar terus dikurniakan rahmat, keamanan dan kemakmuran oleh Allah SWT, seterusnya membentuk sebuah negara yang diberkati dan diredai.

Comments