MAJLIS PENYAMPAIAN CEK SKIM BANTUAN AWAL IPTA & IPTS DAN SKIM KHAIRAT KEMATIAN YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN 2025

KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2025 Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Cek Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS dan Skim Khairat Kematian YWP 2025, bertempat di Dewan Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Majlis ini disempurnakan oleh YB Dr. Abdul Basir bin Kunhimohamed, Ketua Pegawai Eksekutif YWP bersama YB Puan Nur Jalilah Md. Joha, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Titiwangsa selaku wakil Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Majlis ni bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan masyarakat Wilayah Persekutuan, khususnya pelajar berpendapatan rendah yang melanjutkan pengajian ke universiti serta keluarga yang berdepan ujian kematian.


Pada tahun ini, sejumlah RM70,300.00 telah diagihkan kepada penerima manfaat, merangkumi 79 pelajar IPTA & IPTS di bawah Skim Bantuan Awal (M55,300.00) dan 15 penerima Skim Khairat Kematian (RM15,000.00).


Skim Bantuan Awal IPTA & IPTS diwujudkan sejak 2014 sebagai sokongan awal kewangan berbentuk one-off sebanyak RM700 untuk setiap pelajar. Sehingga kini, lebih RM3.4 juta telah disalurkan kepada 5,291 pelajar dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.


Skim Khairat Kematian pula bertujuan menyantuni keluarga yang kehilangan ahli tersayang dengan sumbangan tunai segera bagi membantu mengurangkan beban kewangan asas.


Selaras dengan visi YWP, insiatif ini  menunjukkan komitmen berterusan untuk memperkasa masyarakat melalui pendidikan dan kebajikan, serta memastikan dana diagihkan dengan telus dan saksama kepada golongan yang benar-benar memerlukan.


Yayasan Wilayah Persekutuan turut merakamkan penghargaan kepada DBKL, rakan korporat, NGO serta individu penyumbang yang terus mendukung program ini. Sokongan kolektif ini membuktikan bahawa kesejahteraan masyarakat hanya boleh dicapai melalui kerjasama pelbagai pihak.


Majlis diakhiri dengan penyerahan cek bantuan dan sesi ramah mesra bersama penerima. YWP berharap bantuan ini menjadi pemangkin semangat dan sinar harapan baharu untuk penerima dalam membina kehidupan yang lebih baik.


Comments