Kruniverse Bekerjasama Dengan Unity Trust Berhad Bagi Perniagaan Hospitaliti Bernilai RM50 Juta di Lembah Klang
Putrajaya, 12 Ogos 2025- Kumpulan Syarikat KRU, melalui Kruniverse Sdn Bhd ("Kruniverse"), mengumumkan kerjasama strategik bersama Unity Trust Berhad bagi memacu pengembangan cabang perniagaan hospitaliti dan gaya hidup di Shah Alam dan Klang.
Sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang untuk menjadi peneraju serantau dalam industri pelancongan berteraskan hiburan dan teknologi, Kruniverse akan menerajui pembangunan beberapa projek utama di lokasi strategik dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta para pemegang taruh.
Bagi memastikan tadbir urus yang kukuh, ketelusan, serta perlindungan kepentingan pemegang saham, Kruniverse telah memeterai perijanjian kerjasama dengan Unity Trust Berhad, sebuah organisasi yang dipercayai dengan rekod pencapaian cemerlang dalam pengurusan amanah dan tadbir urus korporat.
"Kerjasama dengan Unity Trust Berhad menandakan pencapaian penting dalam perjalanan kami untuk mengembangkan operasi sambil mengekalkan standard tadbir urus tertinggi. Matlamat kami bukan sahaja untuk meningkatkan pengalaman pengunjung, tetapi juga membina ekosistem mampan yang memperkasakan perniagaan dan komuniti tempatan, Antaranya Tama Tema, Hospitaliti dan Peniagaan" kata Dato' Norman Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif, KRU Corp Sdn Bhd.
Unity Trust Berhad memainkan peranan penting dalam mengurus kepentingan semua pemegang taruh dengan bertindak sebagai rakan tadbir urus bebas dan dipercayai kepada Kruniverse Sdn Bhd. Menerusi kepakaran dalam pengurusan amanah dan pengawasan tadbir urus korporat, Unity Trust memastikan perlindungan pelabur, tanggungjawab fidusiari, dan kerangka pematuhan sentiasa dipatuhi sepanjang perjalanan transformasi syarikat.Kumpulan Syarikat KRU, yang diasaskan pada tahun 1992, adalah salah sebuah entiti perniagaan yang tersohor dalam industri media dan hiburan di Malaysia. Berteraskan inovasi dan kreativiti, KRU telah membangunkan pelbagai harta intelek popular untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, dan menyediakan pelbagai perkhidmatan penerbitan kandungan berasaskan Al, dengan matlamat untuk menjadi entiti yang berpengaruh di peringkat global menjelang 2030.
Mengenai Kruniverse Sdn Bhd
Kruniverse, cabang hospitaliti, gaya hidup, dan teknologi di bawah Kumpulan Syarikat KRU, membangunkan serta mengendalikan pelbagai tarikan bertema, restoran, dan pengalaman riadah berasaskan penglibatan pelanggan yang dipacu Al. Dengan memanfaatkan harta intelek asli, penceritaan imersif, dan penyelesaian teknologi inovatif, Kruniverse berhasrat untuk meningkatkan kualiti hidup sambil menjadi peneraju serantau dalam industri pelancongan berkonsep hiburan.







Comments
Post a Comment