MRT LALUAN PUTRAJAYA FASA SATU SEDIA UNTUK OPERASI 16 JUN INI
Kuala Lumpur, 7 Jun 2022: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kerja-kerja pembinaan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu telah siap dan kini sedia untuk Dibuka kepada orang ramai pada pukul 3.00 Petang 16 Jun 2022.
Fasa Satu sepanjang 17.5km, yang meliputi sembilan stesen baharu dan tiga stesen yang
pada asalnya sebahagian daripada MRT Laluan Kajang, akan dibuka kepada orang ramai
mulai jam 3 petang pada 16 Jun 2022.
Pembukaan laluan kedua Projek MRT Lembah Klang dijangka akan dirasmikan oleh Perdana
Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam satu majlis pagi hari yang sama.
Sembilan stesen baharu yang akan dibuka ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat,
Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima
dan Kampung Batu, manakala tiga stesen yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada
MRT Laluan Kajang ialah Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh.
Ketiga-tiga stesen ini telah beroperasi sejak 2016 apabila MRT Laluan Kajang Fasa Satu
dibuka. Bagaimanapun, stesen-stesen ini telah ditutup sejak Oktober tahun lalu bagi kerjakerja pemindahan stesen untuk menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Putrajaya yang
baharu. Stesen-stesen ini kini telah berjaya dipindahkan ke MRT Laluan Putrajaya dan akan
dibuka semula pada hari yang sama.
Penumpang boleh bertukar antara tren MRT Laluan Putrajaya dan MRT Laluan Kajang di
Kwasa Damansara. Pertukaran tren ini amat mudah kerana penumpang hanya perlu berjalan
melintasi platform untuk meneruskan perjalanan mereka.
Laluan baharu itu juga dihubungkan dengan perkhidmatan tren KTM di Sungai Buloh, Sri
Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral), dan Kampung Batu.
Di Kampung Batu, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke pusat bandar Kuala Lumpur
dengan pertukaran ke laluan KTM Komuter Batu Caves-Pulau Sebang. Satu lagi alternatif,
ialah dengan menggunakan Bas Rapid KL No 173 untuk ke Lebuh Ampang. Kampung Batu
juga mempunyai perkhidmatan bas percuma Go KL Laluan Merah Manggis.
Fasa Satu ini akan mempunyai 20 set tren. Setiap set tren terdiri daripada empat buah
gerabak dan boleh membawa seramai 1,200 penumpang. Operasi tren adalah secara
automatik sepenuhnya dan tidak memerlukan pemandu.
Pada masa yang sama dengan pelancaran perkhidmatan rel pada 16 Jun 2022, 13 laluan bas
perantara juga akan mula beroperasi. Bas-bas itu akan memberi perkhidmatan kepada
kawasan perumahan dan komersial yang terletak di dalam kawasan berhampiaran stesen,
seperti Bandar Sri Damansara, Taman Ehsan, Taman Kepong dan Bandar Baru Selayang.
Terdapat juga kemudahan “park and ride” (parkir dan menaiki tren) di tujuh stesen dengan
jumlah tempat letak kereta lebih daripada 2,800 petak.
Sementara itu, pembinaan untuk Fasa Dua dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral sedang
berjalan dengan lancar. Kemajuan untuk Fasa Dua kini berada pada tahap 98%. Antara aktiviti
yang dijalankan termasuk kerja-kerja seni bina, jalan penghubung, landskap serta pengujian
dan pentauliahan.
Operasi Fasa Dua dijangka bermula pada Januari 2023 dan ini akan membolehkan tren
melalui keseluruhan laluan dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.
Comments
Post a Comment