Festival Malaysia - Jepun 2022 Kali ini Disambut Sempena Meraikan Ulang Tahun Ke -40 Dasar Pandang Ke Timur
Matic, Kuala Lumpur Pertubuhan PAMAJA akan menyambut Ulang tahun
ke-40 tahun yang akan diadakan disini pada 2 Jun 2022 .
Sidang media Festival Malaysia-Jepun 2022 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC pada 30 Mei 2022 lalu.
Justeru, Mahathir berharap akan wujud pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap pendidikan di bawah LEP, dan meneliti sistem pendidikan Jepun dari peringkat pratadika hingga ke universiti.
PEMBANGUNAN ekonomi Malaysia hari ini diwarisi daripada tiga
tahap sebelumnya, dimulakan dengan tahap pertumbuhan dan perkembangan pesat
industri sumber asli dari pertengahan abad ke-19 sehingga 1914, diikuti tempoh
turun naik atau ketidakstabilan industri sumber asli antara Perang Dunia
Pertama dengan Kedua, dan akhir sekali tahap penyatuan serta rasionalisasi
industri sumber asli bersama-sama dengan kepelbagaian ekonomi selepas 1945.
Meskipun Malaysia merupakan bekas koloni British,
kepentingan ekonomi Jepun telah menyumbang kepada perubahan dasar luar negara,
dari Dasar Pro-Barat semasa zaman kolonial, dan pasca-kolonial menjadi Dasar
Pandang ke Timur (LEP) semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
LEP merupakan dasar ekonomi yang dilancarkan oleh Tun Dr
Mahathir selaku Perdana Menteri (PM) Malaysia, pada 8 Februari 1982. Ketika itu
Dr Mahathir baru menjadi PM (1981). Dasar ini diumumkan semasa Persidangan
Tahunan Kerjasama MAJECA/JAMECA Kelima di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
LEP merupakan reaksi kepada dasar ‘Buy British Last’ yang
juga diumumkan oleh Dr Mahathir pada Oktober 1981.
LEP bermaksud pihak kerajaan Malaysia, serta pihak swasta
menjadikan negara Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh etika bekerja. Lebih
15,000 rakyat Malaysia telah memperoleh manfaat menerusi dasar ini.
Menurut Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia,
Araki Kaname, negaranya akan bekerjasama dengan Malaysia bersempena merayakan
pencapaian hubungan dua hala sejak 40 tahun lalu.
Tumpuan juga akan diberikan dalam mengeratkan lagi hubungan
dua hala untuk tempoh 40 tahun akan datang, katanya dalam ucapan di Festival
Filem Jepun 2021.
Sementara itu, Mahathir sendiri menegaskan LEP telah
berjaya, serta harus kekal sebagai asas kepada strategi dan program pembangunan
Malaysia.
Menurut PM keempat dan ketujuh itu, dasar berkenaan
memainkan peranan penting dalam perindustrian Malaysia, dan memberi sumbangan
yang ketara kepada pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.
Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan beliau, kata Mahathir, bersetuju bahawa skop Rangka Kerja LEP 2.0 perlu diperluas dan diperhalus menerusi kerjasama untuk memastikan trend baharu dalam kerjasama dua hala, agar ia kekal relevan.
“Kami bersetuju untuk mengaplikasi revolusi industri 4.0 (IR4.0), termasuk dalam sektor agroteknologi, industri automobil, pengurangan risiko bencana, dan alam sekitar. LEP 2.0 akan merangkumi program persediaan khas, program latihan LEP 2.0, serta perkongsian penyelidikan sains dan teknologi,” tambah Mahathir.
Selain itu, kata Mahathir lagi, banyak syarikat Jepun
termasuk Matsushita, Mitsui, Toshiba, Mitsubishi, AEON dan Kao sama ada
berpindah atau mengembangkan pangkalan pengeluaran mereka di Malaysia.
Dari 1986 hingga 1990, jelas beliau, Malaysia menyaksikan
kemasukan besar-besaran pelaburan langsung asing (FDI) Jepun, serta pertumbuhan
dua angka dalam perdagangan dua hala, sekali gus mendorong Jepun mengatasi
Amerika Syarikat sebagai rakan ekonomi utama Malaysia.
“Hari ini, terdapat hampir 1,500 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia, dan menggaji lebih 400,000 rakyat Malaysia,” kata Mahathir lagi.
Ternyata harapan Mahathir dan Shinzo itu tidak sia-sia.
PAMAJA mengambil inisiatif menganjurkan Festival Malaysia-Jepun 2022 yang
dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 5 Jun 2022 nanti.
Menurut Presiden PAMAJA & Persatuan Inap Desa Malaysia,
Dato’ Sahariman Hamdan, Festival Malaysia-Jepun 2022 akan berlangsung di Pusat
Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.
“Festival ini akan menampilkan pelbagai aktiviti seperti
pameran reruai, jualan makanan, demonstrasi memasak makanan Malaysia (rendang,
laksa, kari, mi), dan Jepun (sushi, sashimi, onigiri, ramen), persembahan muzik
traditional Malaysia dan Jepun, kelas bahasa Jepun, kaligrafi Jepun, kaligrafi
khat, kelas melukis (seni, animasi, kartun), promosi pelancongan, seminar, dan
persembahan fesyen Malaysia-Jepun,” jelas Dato’ Sahariman.
Beliau memberitahu sedemikian semasa sidang media festival
berkenaan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTiC pada 30 Mei 2022 lalu.
Sebagai Pengerusi Festival Malaysia-Jepun 2022, Sahariman berharap orang ramai akan bersama-sama memeriahkannya. Beliau yakin penganjuran festival ini pasti akan memperkukuh lagi kerjasama, dan membina hubungan baharu yang lebih erat antara Malaysia dengan Jepun.
Turut hadir ialah Pengarah Perkhidmatan Maklumat
Jepun/Setiausaha Utama, Kedutaan Jepun, Nagai Tomoko. Dalam ucapan ringkasnya,
Nagai menyampaikan ucapan ribuan terima kasih Duta Jepun ke Malaysia, H.E
Katsuhiko Takahashi atas usaha PAMAJA Persatuan Inap Desa Malaysia yang begitu
giat mengadakan pelbagai acara, bagi mengeratkan hubungan antara rakyat
Malaysia dengan rakyat Jepun.
Menurut Katsuhiko, sejak LEP dilaksanakan di Malaysia,
ribuan rakyat negara ini mengunjungi Jepun sama ada untuk belajar, berkerja,
atau melancong. Ini, katanya lagi, membantu memperkukuh lagi hubungan
Malaysia-Jepun.
Melalui festival ini, Katsuhiko berharap selain menyambut
ulang tahun ke-40 LEP, Malaysia dan Jepun akan merangka kerjasama, dan
merancang lebih banyak program bagi mengeratkan lagi persaudaraan kedua-dua
negara.
Sememangnya Festival Malaysia-Jepun 2022 merupakan peluang besar bagi rakyat Malaysia lebih mengenali kebudayaan, kesenian, bahasa dan pelancongan Jepun.
Comments
Post a Comment