ARCA TERGANTUNG TERTINGGI DI MALAYSIA DIPERSEMBAHKAN OLEH PASUKAN " NIZAM SCULPTURE"

 PUDU 21 JUN 2023 Meranti atau nama botaninya Shorea, ia merujuk kepada pokok saka tropika malar hijau yang terdiri daripada beberapa spesies yang berkaitan.


Ia melambangkan kekuatan dan kekukuhan sebagaimana kewujudannya antara pokok tertua di Malaysia, tertinggi di dunia.

Mengambil inspirasi pokok ini, Nizam Abdullah, pemilik Nizamsculpture Studio dengan kerjasama EUPU Corporation telah menghasilkan arca Meranti dari tingkat 46 ke tingkat lapan di Residensi Pudu Alam Rekreasi (PARC3).

Karya hebat anak tempatan ini dinobat Malaysia Book of Record, arca paling tinggi digantung dalam bangunan kediaman di Malaysia.

Nizam berkata, seni arca menambah nilai kepada ruang dalam bangunan, taman reaksi, kediaman dan lain-lain.

"Projek ini mengambil tempoh setahun untuk siap, konsep arca ini adalah menggapai impian yang tinggi dan beri aura positif untuk mereka mencapai impian.

"Banyak penggiat seni sudah keluar negara kerana di sana banyak peluang dan sokongan untuk karya seni, tetapi saya kekal di sini demi membangunkan industri seni.

"Ramai lepasan seni UiTM tetapi jadi pelukis bukan pengkarya arca, mereka hilang begitu sahaja tiada tempat untuk hasilkan karya," katanya pada sidang media di Residensi Pudu Alam Rekreasi (PAR3) di sini.


Turut hadir Senator Dato Armand Azha Abu Hanifah dan Timbalan Pengurus Besar Pemasarana MBOR, Aaron Bong.

Armand berkata, Nizam diangkat sebagai ikon arca seni yang berani hidup di luar kotak daripada bengkel kecil sejak 12 tahun lalu, kini sudah ada industri beri peluang kerja ramai orang.

"Seni arca agak baharu di Malaysia, kita harap dengan suntikan dana kerajaan, boleh jadi budaya baharu dan punca pendapatan kerana lebih ramai anak seni," katanya. 

Comments