FILEM MAT KILAU BERJAYA MENGANGKAT SEJARAH KEPAHLAWANAN TANAH MELAYU DENGAN AKSI YANG MEMUKAU PENONTON

 PETALING JAYA 16 JUN 2022  Filem biografi epik yang amat ditunggu-tunggu, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (MKKP), arahan Syamsul Yusof, akhirnya bakal ke pawagam di seluruh negara – 90 pawagam, bermula pada 23 Jun 2022 nanti.


MKKP diterbitkan oleh Studio Kembara Sdn Bhd (Studio Kembara). Menurut Pengarah Urusan/Penerbit Studio Kembara, Hj Abdul Rahman Mt Dali, syarikatnya tampil menawarkan diri untuk memeriahkan lagi industri perfileman negara.

“Kami bertekad untuk mengeluarkan filem bermutu tinggi yang menghiburkan dan membawa mesej yang bermanfaat kepada para penonton, serta semua lapisan masyarakat,” jelas Hj Abdul Rahman.

Pendekatan yang diambil oleh Studio Kembara ini, tambah beliau, sekali gus membantu kerajaan dalam pembangunan aras fikir masyarakat, menghargai segala jasa pejuang lampau, mencintai tanah air, serta sanggup berjuang memajukan agama, bangsa, dan negara.

“Dalam jangkamasa panjang, Studio Kembara bercita-cita untuk menjadi pengeluar filem berwibawa yang boleh bersaing dengan pengeluar filem dari luar negara,” kata Abdul Rahman.

Abdul Rahman turut berharap dan menjangka MKKP akan mendapat sambutan hangat, serta menjadi penerobos psikologi yang mencetus keyakinan baharu kepada pemain industri hiburan tempatan, dan seterusnya melangkah lebih maju.

Studio Kembara memilih untuk menghasilkan filem inspirasi daripada kisah benar ini untuk menonjolkan ketokohan watak yang dicatatkan oleh sejarah. Terdapat banyak catatan sejarah kebijaksanaan dan keberanian Mat Kilau.

“Terdapat juga catatan-catatan pihak British yang ditemui mengakui pengaruh besar beliau kepada masyarakat zamannya dalam membangkitkan semangat mempertahan maruah bangsa Melayu, dan kedaulatan bumi Pahang,” jelas Abdul Rahman.

Katanya, ramai yang tidak mengetahui terdapat rekod pihak British yang merakamkan gerakan besar yang dipimpin oleh Mat Kilau telah menyebabkan kemusnahan, dan kerugian besar kepada British.

Mat Kilau menampilkan teladan sifat kelelakian yang sentiasa diperlukan pada setiap zaman. Beliau seorang pemimpin yang kuat berpegang kepada agama Islam, budaya Melayu, matang, berakhlak baik, mencintai tanah air, berani dan sedia berkorban untuk mempertahan watannya daripada sebarang bentuk pencerobohan.

“Mat Kilau juga diiktiraf sebagai tokoh negara. Sejarah yang silap perlu diperbetul. Beliau adalah tokoh yang mempertahan tanah air dan bukan pemberontak seperti yang dilabelkan oleh kerajaan British dalam buku-buku sejarah,” tegas Abdul Rahman sambil menambah jasa besar tokoh ini perlu dikenang sepanjang zaman, dan boleh menjadi contoh yang baik kepada masyarakat kita.

MKKP dibintangi Dato’ Adi Putra sebagai Mat Kilau, Beto Khusyairi (Wahid), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin), Ali Karimi (Brahim), Wan Hanafi Su (Tok Gajah), Khir Rahman (Usup), Dato’ Rahim Razali (Imam Botok), Namron (Hj Sulong), Ellie Suriati (ibu Yassin), Mubarak Majid (ayah Yassin), A Galak (Pak Deris), Shaharuddin Thamby (Datuk Bahaman), Dato’ Jalaluddin Hassan (Hj Muhammad), Farid Amirul (Goh Hoi), Farah Ahmad (Yang Chik, isteri Mat Kilau), Z Zambry (Kelubi) dan pelakon dari Indonesia, Yayan Ruhian (Toga).

Di sebalik kelemahan dan kesilapan (perkara biasa kerana tiada karya manusia yang sempurna), serta salah tafsiran tipikal penonton dalam erti kata sesebuah filem itu hebat atau tidak (sering terpukau dengan visual yang kadang-kadang melampau dan tidak masuk akal), filem biografi epik seperti ini wajar terus diterbitkan - walaupun banyak halangan seperti kritikan pedas, dan kekangan kewangan.

Kalau mahu menurutkan kata-kata pengkritik/warganet, memang kita tidak berkarya langsung.

Mengenai watak berhijab untuk menunjukkan Islamik, itu hanya salah satu unsur - imej lihatan. Ada banyak lagi unsur Islam yang bukan secara luaran, tetapi menerusi sikap dan sifat watak yang positif.

Dalam MKKP, sikap dan sifat sedemikian ada pada Mat Kilau, Wahid (watak rekaan yang menonjol), Tok Gajah dan ramai penduduk kampung.

Dalam soal watak berhijab sedangkan pemegang atau pelakonnya tidak, itu perkara biasa kerana mereka hanya berlakon. Perbezaan atau lebih tepatnya percanggahan sifat/sikap dalam dan di luar filem/drama, dan lain-lain ialah perkara biasa. Taat bersolat dalam filem, tetapi di luar, tidak sujud langsung bukan perkara aneh.

Farid Amirul sendiri (contoh) pernah didakwa kerana mencuri walaupun dia ‘anggota polis’ dalam Gerak Khas'!

Sementara itu, Penerbit Bersama MKKP, Shahruddin Dali berharap seluruh rakyat Malaysia menyokong filem ini dan terhibur. Katanya, filem ini berjaya membawa kita merasai zaman Mat Kilau, menyaksikan keberanian dalam kesusahan, ada

pengorbanan dalam perjuangan, ada jiwa kepahlawanan dalam genangan air mata lelaki dan wanita kita pada zaman penjajahan tersebut yang semuanya mempunyai mesej baik kepada penonton.

“Memang berbaloi! Penerbit berharap seisi keluarga beramai-ramai datang menontonnya di pawagam kerana filem ini berbaloi ditonton di skrin besar

kerana pengalamannya yang hebat!” kata Shahruddin.

Mengenai pengalaman paling menarik di sepanjang penggambaran, menurut Shahruddin ialah menyaksikan sendiri seluruh kru produksi bertungkus-lumus membina set seperti prop, wardrobe, dan lain-lain mirip zaman Mat Kilau sepenuhnya. Begitu juga melihat penglibatan artis artis terkenal tanah air sama ada yang lama mahupun baharu bergabung bakat bersama-sama untuk filem ini, ditambah lagi apabila pelakon luar negara, Yayan Ruhiyan turut membantu menjayakan filem hebat ini sehingga tidak terasa kesukaran yang dilalui.

“Filem Ini mesti ditonton oleh semua lapisan masyarakat Malaysia kerana ia ada penceritaan yang mantap, yang belum pernah kita ketahui, dan jarang sekali kita boleh dapat rasakan pengalamannya. Ia akan membawa kita ke dunia atau zaman tersebut untuk penonton merasainya sendiri. Anda pasti menyukai filem ini, dan dua jam berlalu tidak dirasai kerana terhibur,” tambah beliau.

Bagi peminat filem aksi pertarungan, kata Shahruddin lagi, ia satu pengalaman aksi lasak tanpa henti yang berbaloi. Filem ini dibarisi para pelakon ternama tanah air yang bergabung tenaga, dan diarahkan pula oleh pengarah hebat negara. Ia sebuah filem hebat yang belum pernah negara kita hasilkan.


“Penceritaan, dialog, dan aksi filem ini akan memberi inspirasi kepada ramai

orang, terutamanya generasi muda agar lebih menghargai nilai sebuah kemerdekaan, dan kebebasan supaya tidak melakukan kesilapan yang boleh merugikan,” tegas Shahruddin.

Comments