RUMAH PRIHATIN SANTUNI KANAK KANAK ISTIMEWA DAN ASNAF
DALAM keadaan ekonomi sekarang, bukan sahaja sumber kewangan
ahli perniagaan atau usahawan yang terjejas, tetapi banyak rumah kebajikan
turut hilang sumber pendapatan kerana jumlah penyumbang, dan penaja yang
biasanya memberikan bantuan telah berkurangan.
Ini dinyatakan oleh Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) dan Direktor D’Tandoor Food Industries (DTFI), Datuk Abdul Malik Abdullah semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam ‘Majlis Iftar Rumah Prihatin @ Grand Seasons Bersama Kanak-Kanak Istimewa dan Golongan Asnaf’ pada 23 April 2022 lalu di Rumah Prihatin @ Grand Seasons.
“Walau bagaimanapun, FMBA dan DTFI sentiasa prihatin terhadap keperluan rakan-rakan perniagaan, dan menjadi kebiasaan kami untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan,” tegas Datuk Abdul Malik.
Majlis Iftar Rumah Prihatin @ Grand Seasons merupakan satu daya usaha yang berkonsepkan hotel kebajikan untuk rakyat yang terkesan akibat COVID-19, khususnya kepada warga Wilayah Persekutuan seperti golongan miskin bandar, dan yang menghadapi tekanan kesihatan mental.
Untuk majlis iftar ini, FMTA dan DTFI menaja 190 iftar
kepada penghuni/ahli-ahli Persatuan Pesakit Hydrocephalus Malaysia, Persatuan
Sindrom Down, Kongres India Malaysia, anak-anak yatim, serta golongan asnaf
yang menjadi tumpuan perhatian.
Harga yang ditawarkan oleh Iftar Rumah Prihatin @ Grand Seasons ialah serendah RM3 untuk seorang.
'Majlis Iftar Rumah Prihatin @ Grand Seasons Bersama Kanak-Kanak Istimewa dan Golongan Asnaf’ turut diserikan dengan persembahan penyanyi terkenal tanah air, Datuk Nora Ariffin. Selain mendendangkan salah sebuah lagu popularnya, Desa Tercinta, Nora turut menyantuni golongan yang diraikan dalam majlis iftar tersebut.
Comments
Post a Comment