PENUBUHAN Koperasi Kariah Masjid amat berpotensi
besar meningkatkan penglibatan masyarakat, khususnya umat Islam dalam platform
niaga yang dapat menaikkan taraf hidup, melengkapi keperluan sosial, dan
berfungsi sebagai pusat ekonomi setempat.
Antara yang menjadi kegusaran masyarakat Islam di negara ini
ialah masalah barangan halal. Walau bagaimanapun, Koperasi Kariah Masjid boleh
menjadi penyelesai masalah ini kerana koperasi boleh menjadi sumber produk
halal kepada pengguna.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan
dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Haji Omar sewaktu menghadiri Majlis Berbuka
Puasa Sempena Jubli Emas ANGKASA, dan Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi pada
12 April 2022 lalu di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya.
Sehubungan itu, dalam ucapannya, Noh menyeru rakyat Malaysia
mengimarahkan semua masjid dan surau, berikutan pembukaan penuh dalam fasa
peralihan ke endemik yang bermula sejak 1 April 2022 lalu.
“Saya mahu masjid bukan sahaja menjadi tempat beribadah,
malah sebagai pusat memakmurkan sosioekonomi masyarakat menerusi penubuhan
Koperasi Kariah Masjid ini,” tambah beliau.
Dalam majlis yang sama, Noh turut menyampaikan sumbangan 15
komputer riba kepada pelajar asnaf dan B40 dari Universiti Pertahanan Malaysia
(UPNM) bagi membantu pelajar yang kurang mampu untuk tujuan pembelajaran pada
masa kini yang menuntut penggunaan teknologi kepada pelajar [elajar yang memerlukan.
Majlis tersebut turut meraikan 15 asnaf Pusat Jagaan Darul
Sakinah ANGKASA yang menerima sumbangan duit Raya yang diberikan oleh Tan Sri Noh Omar sebagai persediaan menyambut
Eidulfitri.
Selepas berbuka puasa dan sidang media, Noh yang juga Ahli
Parlimen Tanjung Karang merasmikan Terowong Masa Jubli Emas Angkatan Koperasi
Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang memaparkan pencapaian, dan kejayaan
ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang menyatu, dan mewakili
koperasi pada peringkat kebangsaan, dan antarabangsa di sepanjang penubuhannya
pada 12 Mei 1971.
Tan Sri Noh Omar Menandatangani Plat Peringatan tanda Simbolik Perasmian Terowong Masa Koperasi.
Sebelum itu dalam ucapan alu-aluannya, Presiden ANGKASA,
Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah memberitahu ANGKASA kini menempuhi Pelan
Jangka Sederhana 2021 sehingga 2030 dengan tema ‘Koperasi Menjadi Pilihan Utama
Perniagaan’ yang bertepatan dengan usaha kerajaan memasyarakatkan koperasi.
“Sebagai badan apeks koperasi negara, ANGKASA menyahut
seruan kerajaan supaya koperasi dapat memberikan sumbangan yang signifikan
dalam menyediakan ruang, dan peluang untuk menceburi bidang keusahawanan
koperasi, meningkatkan peluang menceburi bidang keusahawanan koperasi,
meningkatkan peluang pekerjaan, dan membantu pengagihan eknomi yang adil
bertepatan dengan peranan koperasi sebagai jentera pembangunan sosioekonomi di
sepanjang 100 tahun bertapak di negara ini,” kata Dr Abdul Fattah.
Sehingga Jun 2021, ANGKASA menaungi 14,657 koperasi di
seluruh negara dengan keanggotaan individu kira-kira 7.04 juta orang, jumlah
modal yuran sebanyak RM16.3 bilion, dan jumlah aset RM152.1 bilion. Perolehan
gerakan koperasi mencatat sebanyak RM41.5 bilion sehingga 31 Disember 2020
(Sumber statistik: Suruhanjaya Koperasi Malaysia).
Turut hadir termasuklah Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’
Suriani Dato’ Ahmad; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi
Malaysia, Hj Zazali Haron; Pengerusi Institut Koperasi Malaysia, Datuk Wira
Rosli Mat Hassan; Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali
Mansor; Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk
Hasagaya Abdullah; Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Hj Abdul
Rahman Abdul Razak Shaik, serta barisan Anggota Lembaga ANGKASA; Ahli Lembaga
Pemegang Amanah Yayasan Infaq ANGKASA, Tan Sri Dr Ismail Hj Ibrahim; dan Ketua
Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Dato’ Hj Abdullah Hj
Jusoh.
Comments
Post a Comment