Selepas 12 tahun, filem terhebat Madha Gaja Raja Akhirnya Menemui Penonton Di Malaysia
Kuala Lumpur 14 Januari 2024 Filem terbaharu, Madha Gaja Raja terus menerima sambutan positif daripada penonton termasuk daripada pengkritik filem terhadap penceritaan dan lakon layar. Diterbitkan oleh produksi Gemini Film Circuit, filem ini mencatatkan kutipan pecah panggung di pawagam di India sejak 12 Januari lalu.
MSK Cinemas turut bekerjasama dengan syarikat produksi terkenal India yang menyiarkan tayangan filem ini di Malaysia dan Singapura yang akan ditayangkan pada 16 Januari 2025. Pengarah MSK Cinemas Sdn Bhd, Saradha Sivalingam berkata, filem ini berjaya menarik perhatian penonton untuk menonton filem ini walaupun pembikinannya menjangkau 12 tahun.
"Filem ini membawa elemen komedi yang akan membuatkan penonton gelak dari awal hingga akhir," katanya. Produser Gemini Film Circuit , Radhakrishnan berkata, beliau gembira kerana penerbitan filem ini berjaya dilaksanakan dan akhirnya ditayangkan kepada umum.
"Banyak perkara berlaku membabitkan pelakon utama, perubahan jadual penggambaran dan akhirnya siap. Ia sebenarnya 12 tahun masih baharu bukannya lama kerana apabila pelakon itu sendiri menonton filem ini kelihatan muda dari aspek pemikiran, fizikal dan ton filem itu sendiri," katanya. Tambahnya, beliau mengambil keputusan menayangkan filem ini ketika musim menuai iaitu perayaan Pongal yang disambut kali ini.
"Pengarah yang juga penulis skrip dan pembikin filem, Sundar C mahu memaparkan nilai hiburan untuk keluarga yang boleh ditonton semua termasuk kanak-kanak. Filem ini menduduki tempat pertama dengan mencatat pencapaian filem pecah panggung di India dan mula ditayangkan bermula 16 Januari 2025 di Australia , New Zealand, Malaysia, Singapura dan Sri Lanka termasuk UAE, Oman, Qatar dan Mauritius," katanya.
Ujarnya, beliau juga menerima komen positif penonton sebagai filem menghiburkan kepada keluarga di mana filem ini akan menjelajah ke seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah. Radhakrishnan juga berkata, filem ini sesuai untuk ditonton oleh penonton Melayu kerana sari kata dalam Bahasa Malaysia yang menjanjikan unsur komedi yang menghiburkan.
Filem Madha Gaja Raja mengisahkan sekumpulan rakan yang berkawan sejak zaman kanak-kanak bertemu semula selepas beberapa tahun dalam satu majlis perkahwinan. Ketika majlis tersebut berlangsung, sesuatu perkara yang dramatik berlaku menyebabkan mereka bersatu untuk menyelesaikan masalah bersama. Ia bukan sahaja menguji semangat setia kawan antara mereka tetapi ia menjadi proses untuk mengatasi masalah peribadi mereka sendiri.
Filem aksi komedi arahan Sundar C ini dibintangi oleh Vishal, Anjali, Varalaxmi Sarathkumar, Santhanam, Sonu Sood, Manivannan, Subbaraju, Nithin Sathya, Sadagoppan Ramesh, Munna Simon dan John Kokken.
Filem Madha Gaja Raja akan menemui penonton di pawagam tempatan bermula 16 Januari 2025.
Bagi peminat filem Tamil, anda juga boleh mengikuti perkembangan filem tempatan dan antarabangsa menerusi media sosial MSK Cinemas di .
Comments
Post a Comment