KUALA LUMPUR, 21 Disember 2024 – Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN), dengan sukacitanya telah menganjurkan Malam Apresiasi Alumni YSS dan Pelantikan Ejen Perpaduan Negara bersempena Program Pembangunan Kepimpinan Kesukarelawan (Volunteer Leadership Development Programme - VLDP) bagi tahun 2024. Program ini berlangsung di Vivatel Hotel, Kuala Lumpur bertemakan “Memupuk Ekosistem Sukarelawan Alumni YSS yang Lestari.”
Program ini direka untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkasakan alumni YSS yang terdiri daripada golongan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh Malaysia dengan kemahiran kepimpinan dan pengetahuan untuk mempergiatkan usaha bersepadu antara agensi-agensi kerajaan dan rakan kongsi strategik ke arah perpaduan masyarakat serta integrasi nasional berteraskan kesukarelawanan.
Majlis perasmian VLDP 2024 menyaksikan kehadiran Yang Berbahagia Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, dan Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Haji Alimuddin Mohd Dom selaku Pengerusi YSS.
Seramai 150 alumni sukarelawan YSS yang bergiat aktif dalam program kesukarelawanan YSS sepanjang tahun telah dijemput untuk bersama-sama memeriahkan lagi majlis dan meraikan kecemerlangan prestasi mereka. Malam Apresiasi Alumni YSS turut menjadi acara tumpuan sepanjang pelaksanaan program tersebut yang menyaksikan pelantikan 150 orang Ejen Perpaduan daripada kalangan alumni YSS.
Antara aktiviti dan pengisian lain sepanjang VLDP 2024 termasuklah: Sesi perkongsian ilmu daripada alumni YSS serta pakar dalam pelbagai bidang seperti kepimpinan, komunikasi, keusahawanan sosial dan protokol. Bengkel pembinaan kapasiti interaktif untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan dan kesukarelawanan. Sesi rangkaian untuk mengukuhkan hubungan antara alumni YSS.
“VLDP adalah bukti komitmen YSS untuk membina ekosistem sukarelawan yang memampan di Malaysia. Kami percaya bahawa dengan pemerkasaan rangkaian alumni seperti ini mampu menyumbang kepada arah pembangunan komuniti yang lebih teguh serta membudayakan kepimpinan melalui kesukarelawanan yang berterusan,” ujar Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Haji Alimuddin Mohd Dom, Pengerusi YSS.
MAKLUMAT RINGKAS YSS
Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) merupakan sebuah organisasi milik penuh Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Perpaduan Negara. Sejak penubuhannya pada tahun 2012, YSS terus komited untuk menggalakkan aktiviti kesukarelawanan daripada golongan belia berkonsepkan “Kesukarelawanan Tunjang Perpaduan” bagi mencapai integrasi nasional dan perpaduan rakyat Malaysia. Sehingga kini, YSS telah melahirkan seramai 2,067 alumni sukarelawan siswa dan telah berjaya mencapai 73 misi kesukarelawanan berimpak tinggi serta lebih 8,000 projek komuniti yang telah memanfaatkan lebih satu juta insan di dalam dan luar negara.
Comments
Post a Comment