PANDANGAN TERHADAP KENYATAAN YB MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA MALAYSIA, APA YANG BERLAKU ADALAH KESAN TERHADAP RANTAIAN DAN LINGKARAN MASALAH YANG SEKIAN LAMA DISUARAKAN INDUSTRI.
Kuala Lumpur, 20 Oktober 2024 – Kami ingin menyampaikan penghargaan kepada YB Dato Sri Tiong King Sing atas usaha dan perhatian beliau dalam menyelesaikan isu-isu yang telah disuarakan oleh pengusaha hotel serta mengambil kira keluhan pengguna mengenai waktu daftar masuk dan keluar hotel. Walaupun kami menghargai niat baik tersebut, setiap perkara harus dikaji dengan teliti untuk mengelakkan sebarang kekeliruan yang boleh menjejaskan persepsi pengusaha hotel dan pengguna.
Kami ingin menekankan bahawa prosedur daftar masuk dan keluar adalah amalan biasa dalam industri perhotelan global. Hotel berlesen di Malaysia komited kepada standard perkhidmatan tinggi dan memahami kepentingan menjaga kualiti perkhidmatan kepada pelanggan. Sebarang kekurangan atau masalah lazimnya timbul dalam kalangan pengusaha yang tidak berdaftar atau tidak berlesen dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta tidak menjadi ahli mana-mana Persatuan yang bertanggungjawab bagi industri Perhotelan yang sentiasa bersedia untuk memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar.
PRINSIP: Mana-mana Pelanggan yang ingin menginap disebuah Hotel boleh bertanya atau melihat polisi daftar masuk dan keluar mana-mana hotel sebelum bersetuju untuk menginap dihotel tersebut selaras dengan prinsip "willing buyer, willing seller" merujuk kepada keadaan di mana kedua-dua pihak dalam sesuatu transaksi, iaitu pembeli dan penjual, membuat keputusan untuk terlibat dalam jual beli secara sukarela tanpa paksaan. Dalam konteks ini, pengunjung atau pelancong bersedia menempah bilik hotel pada harga dan syarat yang dipersetujui, danpengusaha hotel juga rela menjual bilik tersebut kepada pelancong atau pengunjung pada suatu harga beserta syarat-syarat tersebut.
Prinsip ini memastikan bahawa transaksi berlaku berdasarkan persetujuan bersama di antara kedua-dua pihak termasuk harga serta waktu daftar masuk dan keluar yang ditetapkan mencerminkan kehendak pasaran dan operasi hotel serta kesediaan kedua-duanya untuk bertukar nilai.
Industri perhotelan telah berulang kali memohon dan menyuarakan isu kritikal berkaitan kekurangan pekerja yang kompeten, terutamanya dalam kalangan pekerja tempatan, yang menjadi cabaran utama kepada kelancaran operasi hotel. Terdapat keperluan mendesak untuk penambahbaikan, termasuk pengambilan khas pekerja asing bagi peranan di bahagian back office hotel. Kekurangan ini telah menjadi faktor utama yang menyebabkan kelewatan dalam penyediaan bilik penginapan, yang menjejaskan pengalaman pelanggan.
Kegagalan Kerajaan untuk menyelesaikan isu ini telah menimbulkan kesan yang tidak memuaskan terhadap industri perhotelan, memperlahankan pertumbuhan dan menambah bebanan operasi hotel dalam mengekalkan standard perkhidmatan yang baik. Keadaan ini juga memberi tekanan yang lebih besar terhadap pemain industri yang sudah sedia terkesan akibat persaingan dan cabaran lain yang wujud dalam pasaran.
Kami menggesa agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia memberi keutamaan kepada isu kekurangan pekerja yang mendesak. Permohonan untuk pekerja asing harus dipermudahkan dengan mengurangkan birokrasi (red tape) dan memperluas akses kepada negara sumber yang menyediakan pekerja dengan kepakaran dalam bidang hospitaliti dan pelancongan.
Kami ingin mengingatkan bahawa setiap negara mempunyai cabaran dan kawal selia yang berbeza. Harga jualan penginapan di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain yang setaraf, dan ini harus diambil kira dalam membuat perbandingan yang adil. Kos operasi dan kawal selia tempatan memerlukan pendekatan yang sesuai dengan keadaan ekonomi dan pasaran tempatan. Jika perlu mengikut mana-mana negara yang dibandingkan tersebut, perlu lihat jumlah pekerja, harga jualan dan kos operasi hotel tersebut terlebih dahulu.
Comments
Post a Comment