SEORANG DATO’ DISYAKI MENJADI DALANG PENIPUAN SKIM PERNIAGAAN FREEZER HINGGA MENCECAH NILAI KERUGIAN RATUSAN RIBU
Kuala Lumpur 28 Oktober 2024 Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) adalah sebuah organisasi yang diasaskan atas dasar ingin membantu menegakkan hak-hak kemanusiaan. MHO telah ditubuhkan sejak tahun 2016 dan komited memperjuangkan hak-hak asasi manusia melalui aktiviti-aktiviti bantuan kemanusiaan bagi membantu semua pihak dalam aspek program kemanusiaan dan khidmat guaman.
Pihak MHO telah menerima beberapa aduan daripada para pengadu berkenaan permasalahan yang dihadapi oleh mereka setelah menyertai satu skim pelaburan freezer yang ditawarkan oleh sebuah syarikat. Anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung oleh para pengadu ini adalah sebanyak RM275,000.00.
Para pengadu telah terpedaya dengan skim pelaburan freezer yang ditawarkan oleh seorang individu berstatus Dato’. Mereka ditawarkan dengan pulangan dividen yang menguntungkan. Mereka ditawarkan dan ditaburkan dengan janji serta manfaatmanfaat yang besar untuk mengaburi mata para pelabur bagi menyertai skim pelaburan tersebut. Penerangan dan representasi lanjut berkenaan dengan skim pelaburan yang ditawarkan ini adalah menerusi seorang individu berstatus Dato’ yang juga merupakan pemilik kepada syarikat tersebut. Namun begitu, permasalahan mulai timbul apabila para pengadu tidak menerima pembayaran pulangan atau keuntungan seperti mana yang dijanjikan dan ditawarkan oleh individu berstatus Dato’ tersebut.
Berkenaan isu freezer tersebut, para pengadu yang mempersoalkan mengenai bukti kewujudan freezer tersebut di pasaraya sama ada ianya adalah benar-benar wujud atau di atas kertas sahaja kerana sehingga ke hari ini para pengadu tidak pernah ditunjukkan sebarang salinan dokumen-dokumen pengurusan berkenaan dengan freezer tersebut. Seterusnya MHO ingin memberikan cadangan kesalahan dan/atau ketidakpatuhan yang telah dilakukan oleh Syarikat ini di bawah Akta Skim Kepentingan 2016, seksyen-seksyen tersebut adalah seperti berikut:
a) Seksyen 3 – Pengeluaran dan kehendak bagi pendaftaran skim
- Tiada seorang pun kecuali suatu syarikat pengurusan boleh mengeluarkan atau menawarkan kepada orang awam untuk melanggan atau membeli atau mempelawa orang awam untuk melanggan apa-apa kepentingan.
- Melainkan jika skim itu didaftarkan dan dibenarkan di bawah Akta ini
b) Seksyen 19 – Kelulusan surat ikatan amanah dan perjanjian kontraktual
- Kelulusan bagi suatu surat ikatan amanah atau perjanjian kontraktual hendaklah hanya diberikan jika –
(a) Kelulusan bagi pelantikan pemegang amanah yang disebut dalam subseksyen 22 (2) telah diperolaeh; dan
(b) Kelulusan bagi pelantikan pemegang amanah itu tidak dibatalkan dan pemegang amanah itu tidak berhenti daripada jawatan.
- Apabila memberikan kelulusan, Pendaftar hendaklah mempunyai kuasa untuk mengenakan apa-apa syarat yang difikirkannya patut.
c) Seksyen 22 – Pelantikan pemegang amanah
- Sebelum pendaftaran suatu skim dibawah Seksyen 9, syarikat pengurusan hendaklah, tertakluk kepada Seksyen 23, melantik pemegang amanah untuk bertindakan bagi pemegang kepentingan.
- Pelantikan pemegang amanah itu oleh syarikat pengurusan hendaklah tertakluk kepada kelulusan Pendaftar.
Tambahan lagi, sesebuah syarikat yang ingin menawarkan sesuatu skim pelaburan itu juga perlu untuk mendapatkan lesen dan juga kebenaran dari pihak berkuasa yang mengawal selia skim-skim pelaburan di Malaysia ini. Seandainya syarikat ini yang menawarkan skim pelaburan yang tidak wujud dan tidak sah, maka ianya dapat disimpulkan bahawa syarikat itu menerima wang pelaburan dari sesuatu aktiviti haram yang dilakukan oleh pihak Syarikat tersebut.
Maka ianya adalah merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 4 (1) Anti-money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001 (AMLA).






Comments
Post a Comment