ADUAN KEPADA BANK NEGARA MALAYSIA (BNM) DISYAKI SKIM PELABURAN ALA HUTANG (DEBT INVESTMENT) TIDAK BERDAFTAR DAN MENDAPAT KELULUSAN BNM

Kuala Lumpur 16 Oktober 2024 Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) adalah sebuah organisasi yang diasaskan atas dasar ingin membantu menegakkan hak-hak kemanusiaan. MHO telah ditubuhkan sejak tahun 2016 dan komited memperjuangkan hak-hak asasi manusia melalui aktiviti-aktiviti bantuan kemanusiaan bagi membantu semua pihak dalam aspek program kemanusiaan dan khidmat guaman.


Pihak MHO telah menerima 87 aduan daripada pengadu-pengadu berkenaan permasalahan yang dihadapi oleh mereka setelah menyertai satu skim pelaburan ala hutang (debtinvestment) yang ditawarkan oleh sebuah syarikat. Anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung oleh para pengadu ini adalah sebanyak RM47,305,198.00. Konsep pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut adalah dimana para pengadu dijanjikan dengan satu pulangan hibah yang lumayan serta manfaat-manfaat lain yang ditawarkan dan dijanjikan oleh pihak syarikat kepada mereka. Kami mengesyaki bahawa janji-janji yang diberikan oleh syarikat tersebut adalah tidak benar dan/atau tidak wujud kerana mangsa-mangsa atau pengadu tidak pernah menerima langsung sebarang bayaran hibah atau pulangan sepertimana yang dijanjikan oleh syarikat itu. Disamping itu, pengadu-pengadu juga tidak pernah ditunjukkan atau dikemukakan sebarang bukti bahawa pelaburan-pelaburan tersebut memang benar-benar wujud dan ada atau tidak. Ini adalah kerana segala maklumat yang diberikan kepada pengadu-pengadu adalah dari ketua pegawai pemasaransyarikat itu sendiri. Pengadu tidak pernah dit unjukkan sebarang bukti mengenai trading yang dilakukan oleh pihak syarikat.


Dapat dilihat juga bahawa terdapat kemungkinan bahawa dokumen-dokumen yang dikemukakan semasa pemasaran skim pelaburan ini berlaku adalah disyaki juga merupakan dokumen-dokumen yang diada-adakan oleh syarikat ini. Konsep dan modus operandi yang digunakan oleh syarikat ini adalah sama dengan konsep dan modus yang digunakan oleh syarikat-syarikat pelaburan lain yang pernah MHO bongkarkan. Ini adalah dimana ketua pemasaran syarikat itu akan membuat penerangan dan representasi kepada para pelanggan. Hasil maklumat dari pengadu-pengadu menyatakan bahawa syarikat tersebut memerlukan dana bagi perniagaan-perniagaan yang akan dilakukan oleh syarikat itu, antaranya adalah trading dalam pelbagai shariah-compliant businesses termasuklah dalam industri pertanian, teknologi maklumat, pusat kecergasan dan hartanah. 


Apa yang menarik perhatian pengadu-pengadu untuk menyertai skim pelaburan ala hutang (debt investment) adalah apabila mereka ditawarkan dengan tawaran pulangan hibah yang sangat menarik. Ada diantara mereka yang ditawarkan untuk menerima pulangan tawaran hibah sehingga 30% - 50% dalam masa setahun, di mana MHO mengesyaki tawaran-tawaran yang dilakukan oleh pihak syarikat tersebut adalah merupakan satu tawaran kosong semata-mata yang mana ianya adalah bertujuan untuk mengaburi mata pengadu-pengadu ini. Apa yang lebih membingungkan lagi adalah apabila perjanjian yang dimeterai di antara pengadu dan syarikat ini adalah “Perjanjian Pinjaman”. Para pelabur dan/atau pengadu telah diperdaya untuk menandatangani perjanjian yang tidak sah tersebut. 


Selepas mendengar penerangan dan representasi mengenai skim pelaburan yang diberikan oleh ketua pemasaran syarikat tersebut, para pengadu telah tertarik dan berminat untuk menyertai skim pelaburan ala hutang tersebut. Mereka juga telah membuat pembayaran pelaburan bagi skim pelaburan itu. Namun begitu, MHO mengesyaki bahawa tawaran-tawaran program skim pelaburan ala hutang (debt investment) tersebut adalah tidak sah dari segi undang-undang kerana syarikatsyarikat tersebut gagal dan tidak mematuhi kepada undang-undang yang telah diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengawalselia syarikat-syarikat pelaburan di Malaysia.



Sebagai makluman juga, para pengadu telah membuat laporan polis dan maklumbalas laporan polis yang diadukan adalah diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi “Refer Other Agency ” (ROA). Laporan polis tersebut akan dirujuk kepada pihak Bank Negara Malaysia. Para pengadu mengharapkan dan memohon supaya Bank Negara Malaysia dapat melakukan satu siasatan yang lengkap dan menyeluruh di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta dilakukan pertuduhan ke atas individu berkaitan dan/atau syarikat ini di bawah pertuduhan seksyen yang sama. Para pengadu juga sudi dan akan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada Bank Negara Malaysia untuk melengkapkan siasatan ke atas syarikat tersebut dan seterusnya dilakukan pertuduhan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 ini.



Seandainya syarikat ini yang menawarkan skim pelaburan yang tidak wujud dan tidak sah, maka ianya dapat disimpulkan bahawa syarikat itu menerima wang pelaburan dari sesuatu aktiviti haram yang dilakukan oleh pihak Syarikat tersebut. Maka ianya adalah merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 4 (1) Anti-money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001 (AMLA).



Pengadu juga ingin menyatakan bahawa mereka sudi untuk memberi kerjasama kepada bank negara seandainya usaha dan tindakan diperlukan dari pihak mereka untuk melengkapkan siasatan. Maka itu, MHO menyeru pihak berkuasa agar lebih peka dan agresif dalam soal yang melibatkan kes-kes penipuan pelaburan agar sesuatu perjanjian pelaburan atau perjanjian perniagaaan tidak dengan mudah sewenang-wenangnya digunakan sebagai alasan untuk melepaskan diri daripada tindakan perundangan jenayah.



Oleh yang demikian, tujuan sidang media pada hari ini dilakukan adalah untuk memberikan kesedaran serta membuat aduan kepada bank negara terhadap penipuan dan pemerdayaan yang dilakukan oleh sebuah syarikat yang menawarkan satu program skim pelaburan ala hutang (debt investment) kepada masyarakat umum. Ianya juga adalah supaya masyarakat umum yang lain sedar akan modus operandi dan cara penipuan dan pemerdayaan yang dilakukan oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab ini.

Comments