SUNGAI BULOH, 31 Julai: Kebajikan guru sekolah agama tetap
menjadi agenda utama calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN)
Paya Jaras, Khairuddin Othman dengan mewujudkan satu koperasi untuk golongan
tersebut.
Beliau berkata, kebajikan guru sekolah agama jarang
dibangkitkan berbanding infrastruktur sekolah yang biasanya terdapat dana
disalurkan bagi tujuan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Bagi saya paling penting untuk kita perjuangkan akan datang
adalah kebajikan guru sekolah agama yang harus diperhalusi dan ditambah baik.
“Sebab itu saya telah beberapa kali mencadangkan agar satu
koperasi guru sekolah agama diwujudkan bagi menjana pendapatan dan demi
kebajikan guru sekolah tersebut,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah
Medik di Paya Jaras, baru-baru ini.
Susulan itu katanya beliau akan memohon kepada Institut
Kemajuan Desa (INFRA) sebidang tanah untuk diusahakan dengan tanaman seperti
cili dan sebagainya dengan hasil pendapatan tersebut dibawa semula kepada
koperasi.

Katanya, usaha itu tidak akan terhenti di situ dan berikrar
sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk menjadi wakil rakyat DUN Paya Jaras
beliau akan terus memperjuangkan isu tersebut.
“Penambahbaikan infrastruktur sekolah akan sentiasa
diteruskan menerusi dana kerajaan namun kebajikan sekolah agama akan diberi
fokus lebih,” katanya.
Ditanya mengenai isu banjir dan perparitan di kampung
tradisi di Paya Jaras, Mohd Khairuddin menjelaskan pihaknya berdepan beberapa
isu antaranya masih ada kampung yang berbentuk ‘parit Jepun’ yang mana ia tidak
tercantum dengan sungai.
“Isu ini agak mencabar kerana saliran yang mahu ditarik ke
sungai perlu melalui tanah milik orang dan sekiranya pemilik tanah tidak beri
kebenaran, ia menyukarkan proses (penambahbaikan),” katanya.
Comments
Post a Comment