SINGLE PERTAMA BOB SENTUHAN, “BUKIT BINTANG” BERKISARKAN PENGALAMANNYA SEBAGAI PEMUZIK JALANAN

 

KUALA LUMPUR, Januari 18, 2023 - Bob Sentuhan mungkin baru dalam dunia rakaman

tetapi merupakan satu nama yang tidak asing di kalangan pemuzik dan peminat muzik

jalanan. Setelah hampir 20 tahun menghiburkan orangramai di sekitar bandaraya Kuala

Lumpur terutamanya Bukit Bintang dan SOGO, Bob akhirnya muncul dengan single 

berjudul “Bukit Bintang”.


“Bukit Bintang” adalah lagu yang sangat istimewa untuk saya kerana Bukit Bintang pernah

dan akan terus menjadi pentas untuk saya beraksi. Matlamat saya adalah menjadi seorang

penghibur yang menghiburkan. Saya bersyukur dipilih oleh komposer Maman Teacher’s Pet

untuk merakamkan lagu Bukit Bintang.


Bergelar artis rakaman tidak akan mengubah matlamat saya sebagai artis jalanan kerana 

nadi perjuangan seni saya adalah untuk menghiburkan, tanpa mengira bangsa, warna kulit, 

agama atau kedudukan,” kata Bob pada sidang media memperkenalkan “Bukit Bintang”.


Single ini mengisahkan tentang cinta yang berputik dan mekar di Bukit Bintang, sebuah 

kota yang berwarna-warni yang penuh dengan kisah kehidupan.


Bob Sentuhan yang berasal dari Pulau Pinang memulakan kerjayanya sebagai seorang

penghibur jalanan, dan telah menjelajah negara dan mendendangkan lagu untuk 

pengunjung kaki lima. Bob turut memperjuangkan bakat dan nasib pemuzik jalanan 

agar dihormati oleh orang ramai.


Single sulung Bob turut menampilkan Maman Teacher's Pet yang juga penggubah dan

penerbit lagu berkenaan. Maman yang telah berdiam diri selama 2 dekad kembali ke dunia

muzik untuk bekerja dengan Bob, kerana dia percaya dengan bakat dan keazaman Bob 

untuk menjadi penghibur yang berjaya.


“Bukit Bintang adalah lagu yang dibuat khas untuk Bob kerana di sinilah dia mula menyanyi

dan di sinilah dia mencurahkan semua semangat dan dedikasinya untuk menghiburkan 

orang ramai dengan nyanyiannya. Bob mempunyai bakat yang besar dan saya yakin, 

dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang baik, dia mampu pergi jauh. Saya juga kagum

 kerana Bob bukan sahaja popular di Bukit Bintang malah terkenal di Singapura, 

Brunei dan Indonesia juga,” kata Maman.


Menurut Maman, "Bukit Bintang" juga merupakan lagu yang dihasilkan khas sebagai

penghormatan kepada mereka yang membangunkan Bukit Bintang sehingga seperti

sekarang.

“Bukit Bintang suatu masa dahulu adalah salah satu sisi gelap Kuala Lumpur. Tetapi hari ini,

Bukit Bintang adalah sebuah kawasan yang sibuk dengan pelbagai kehidupan, perniagaan

dan peluang. Orang yang paling sedih berjalan di Bukit Bintang, tidak akan kekal bersedih

kerana suasana di Bukit Bintang mampu merubah kesedihan dan memberikan kegembiraan.



Pelancong dari pelbagai negara dan rakyat tempatan berkumpul di Bukit Bintang untuk

bergembira dan bersuka ria,” tambah Maman mengenai sebab mengapa Bukit Bintang

 ditulis. “Bukit Bintang” kini boleh didapati di platfom striming muzik Apple Music, 

Spotify dan JOOX. MMX kini sedang dalam proses menyiapkan video muzik yang 

akan tersedia di Youtube dan platfom lain pada 20 Januari 2023.


Muzik Nyanyian Bob akan muncul di Chanel You Tube Buskers Malaysia tidak lama lagi



Comments