PUAN SERI NISA BAKRI BUKTIKAN KEMAMPUAN WANITA BERSAMA NB TEAM BERJAYA MENDAKI GUNUNG KINABALU
Mendaki puncak Gunung Kinabalu antara impian ramai orang.Ramai yang bermimpi ingin sampai ke puncak namun tidak ramai yang berjaya menterjemahkan mimpi itu menjadi realiti dan kenyataan.
Berada di puncak dan melihat suatu pemandangan cukup indah
yang sukar dilafazkan dengan
kata-kata.Berasa diri cukup kerdil dan kagum dengan hasil karya Maha
Pencipta.Menikmati alam yang cukup indah dan terasa bagaikan masuk ke dalam
alam dunia lain .Terasa diri bagaikan seekor semut kecil yang dikelilingi oleh
batu besar bukit bukau gunung ganang seakan ia hidup dan memerhatikan kita.
Demikianlah antara perasaan yang dialami oleh Puan Seri Nisa
Bakri yang baru-baru ini (5-6 Februari) bersama NB Team seramai 6 orang telah
berjaya mendaki Gunung Kinabalu.
Pendakian ke Gunung Kinabalu ini cukup mencabar apatah lagi
Puan Seri Nisa Bakri bukanlah seorang yang cukup aktif dalam pendakian.Walaupun
dengan pengalaman pendakian yang terbatas namun dengan semangat juang yang
cukup tinggi,pemikiran yang positif untuk mencapai mimpi agar menjadi kenyataan
disamping kerjasama berpasukan akhirnya misi mendaki Gunung Kinabalu ini
berjaya direalisasikan.
Bagi Puan Seri Nisa Bakri ini merupakan kisah inspirasi dan
bagaimana dengan pemikiran yang positif kita boleh mencapai apa jua yang kita
impikan.
“Saya berjaya melaksanakan misi ini kerana saya dikelilingi
oleh rakan sepasukan yang sentiasa berfikiran positif dan sangat penting kita
memiliki rakan sebegini dalam kehidupan seharian kita”
Menceritakan pengalaman sewaktu tiba di puncak,beliau
berkata beliau menangis sebak dan sentiasa terbayang wajah suami beliau iaitu
Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin (Bekas Timbalan Ketua Polis Negara) lengkap
dengan uniform sewaktu melangkah naik.
Tan Sri Bakri Zinin anak kelahiran Sabah yang sudah 7 kali
mendaki Gunung Kinabalu merupakan insan utama yang mendorong beliau untuk
mendaki Gunung Kinabalu.Suami kesayangan beliau inilah yang banyak memberikan
semangat dan menyuntik kata-kata motivasi buat beliau untuk lebih percaya diri
seterusnya yakin beliau mampu untuk mendaki Gunung Kinabalu walaupun bukan dari
kalangan kelompok pendaki profesional sekalipun.
Pendakian ini kata beliau memerlukan kekuatan mental yang cukup kuat dan kumpulan sokongan yang sentiasa memberikan semangat untuk memastikan semua dapat tiba di puncak.
“Ia merupakan perasaan yang tak dapat nak digambarkan dengan
kata-kata.Saya melihat diri sendiri saya di cermin pagi ini,saya tak boleh
senyum,saya menangis dan terus menangis.
”Apakah benar saya melakukannya?Allah izinkan ,dan Allah
yang memberi kekuatan dan pencapaian ini.Kejayaan saya dan kumpulan saya ini
ada makna. Kami semua wanita dan kami lakukan ia bersama dengan penuh semangat
berpasukan,kekuatan mental ,kuasa pemikiran yang kuat dan kesemuanya memberikan
kekuatan kepada kami sehingga berjaya menyempurnakan misi pendakian ini”
”Saya hanya menangis dan menangis seperti seorang
bayi,memang kita tak miliki apa-apa, ciptaan Tuhan begitu besar dan cukup
indah, saya rasa kecil seperti semut dan rasa betapa kerdil nya kita.
Kejayaan dalam pendakian ke Gunung Kinabalu ini merupakan
satu lagi pencapaian indah buat Puan Seri Nisa Bakri dan NB Team.Selepas berjaya
mencipta nama dalam dunia masakan dengan pelbagai menu istimewa atas nama
“Nisabakri Gourmet “,aktif turun padang dalam pelbagai projek kebajikan dan
kemanusiaan, serta misi pemerkasaan wanita,pendakian ke Gunung Kinabalu ini
menjadi satu lagi sejarah manis buat Puan Seri Nisa Bakri dan NB Team.
Diharapkan lebih
ramai yang mendapat inspirasi seterusnya berusaha untuk memastikan apa jua
impian dan mimpi menjadi realiti.
Comments
Post a Comment