Delegasi Dewan Perniagaan Datuk Adto Malaysia (DPDDM) Membuat Kunjungan Hormat ke MAHSA University College
Terkini Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) telah mengadakan kunjungan hormat ke MAHSA University College dalam usaha memperkukuh hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama antara komuniti perniagaan dan institusi pendidikan tinggi.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh profesional dan mesra ini menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta membincangkan potensi kerjasama strategik yang mampu memberikan manfaat kepada dunia pendidikan, keusahawanan, industri dan pembangunan modal insan negara.Dimana DPDDM diketuai Presiden, Datuk (Dr.) Nor Hasnal Hashmi bersama barisan kepimpinan kanan DPDDM. Manakala pihak MAHSA University College diketuai Dato’ Dr. Shahril Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa, Pengarah Urusan Kumpulan dan MAHSA Group.
Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi berkata, dalam pertemuan tersebut banyak perkara bermanfaat yang dibincangkan antara kedua-dua belah pihak.
“Antara perkara yang turut menjadi fokus perbincangan adalah usaha memperkukuh jaringan industri dan akademik, pembangunan keusahawanan, latihan profesional, peluang kerjaya, pembangunan bakat serta pendedahan mahasiswa kepada ekosistem perniagaan sebenar.
“DPDDM melihat kerjasama bersama institusi pendidikan tinggi seperti MAHSA University College sebagai satu langkah penting dalam membina jambatan yang lebih kukuh antara dunia akademik dan sektor industri.
“Dalam pertemuan tersebut DPDDM juga turut ditawarkan tempat untuk membawa masuk 300 orang pelajar dari negara India bagi mengikuti pengajian di MAHSA University College. Peluang ini merupakan satu langkah kepada kami untuk terus membantu dan memperkenalkan DPDDM di mata dunia selaras dengan matlamat menghubungkan perniagaan, pendidikan dan peluang untuk masa hadapan.”
Nor Hasnal menambah, kunjungan hormat ini juga mencerminkan komitmen DPDDM untuk terus memainkan peranan sebagai penghubung antara komuniti perniagaan, institusi pendidikan, industri dan pemegang taruh strategik, di samping memperluaskan jaringan kerjasama yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi dan modal insan Malaysia.
”DPDDM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak MAHSA University College dan MAHSA Group, khususnya kepada Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa serta seluruh barisan pengurusan atas sambutan yang amat baik dan keterbukaan dalam membincangkan potensi kerjasama bersama DPDDM.
“Semoga kunjung hormat ini menjadi titik permulaan kepada satu hubungan strategik yang lebih erat, berterusan dan berimpak tinggi, serta membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama demi memperkasakan pendidikan, keusahawanan, industri dan generasi masa hadapan.”
Melalui jaringan strategik ini, DPDDM berharap lebih banyak ruang dapat diwujudkan untuk mahasiswa dan graduan mendapatkan pendedahan kepada dunia perniagaan, membina rangkaian profesional, meningkatkan kemahiran kepimpinan serta meneroka peluang keusahawanan yang lebih luas.
Dalam masa yang sama, beliau menyatakan bahawa DPDDM berada dalam kedudukan strategik kerana keahlian dewan merangkumi pelbagai sektor industri sekali gus membolehkannya menjadi 'jambatan emas' bagi menghubungkan pendidikan, perniagaan dan pembangunan usahawan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MAHSA University College, Dato’ Dr. Shahril Prof. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohamed Haniffa berkata, pihaknya amat berharap kerjasama tersebut dapat membantu melahirkan graduan MAHSA University College yang bukan sahaja berwibawa tetapi juga selari dengan hasrat kerajaan Madani yang menekankan nilai kemanusiaan, keilmuan dan daya tahan.
"Saya berharap hubungan antara DPDDM dan MAHSA University College dapat terus diperkukuh bagi membantu negara melahirkan lebih ramai graduan yang mampu bersaing dalam keadaan ekonomi semakin mencabar," katanya
Dengan keahlian yang merentasi pelbagai sektor industri, DPDDM berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi `jambatan emas’ kepada MAHSA University College untuk bersama-sama kerajaan Madani dalam melahirkan komuniti berpendidikan, perniagaan dan usahawan baharu.
Semoga jalinan kerjasama ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang inovasi, memperkasa pendidikan, memacu keusahawanan, membina masa depan negara dan kejayaan pada masa hadapan demi manfaat masyarakat, institusi pendidikan serta komuniti perniagaan Malaysia.

Comments
Post a Comment