MATA & KEMBARA FOOD METERAI MOU PROMOSI MAKANAN HALAL MUDAH DIBAWA UNTUK PELANCONG MUSLIM

 

Bandar Sunway, 20 Mei 2025 – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) dan Kembara Food hari ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik dalam mempromosikan makanan halal sedia dimakan buatan Malaysia untuk pelancong Muslim di seluruh dunia. Majlis menandatangani MoU ini berlangsung di Bandar Sunway dan disaksikan oleh Ahli MATA, para pemain industri pelancongan dan perdagangan Islam.MoU ini bertujuan untuk menyokong keperluan pelancong Muslim dengan menyediakan makanan halal yang berkualiti tinggi, mudah dibawa, dan mewakili cita rasa asli Malaysia. Kembara Food menawarkan pelbagai pilihan makanan tradisional seperti Rendang, Daging Masak Hitam, Sambal Ikan Bilis dan banyak lagi – semuanya disahkan halal, sedia dimakan, dan dibungkus secara vakum untuk kemudahan perjalanan.

“Kerjasama bersama Kembara Food selari dengan visi MATA untuk memperkasa pengalaman pelancongan Islam dengan memastikan pelancong kita dapat menikmati sajian Malaysia di mana sahaja mereka berada, dengan jaminan halal sepenuhnya,” kata Dato’ Sri Dr. Mohd Khalid Harun, Presiden MATA. 

“Kami bangga menyokong produk keluaran Bumiputera Malaysia ke peringkat antarabangsa.” Inovasi oleh Kembara Food ini sangat sesuai dengan gaya hidup pelancong masa kini – ringan, tidak memerlukan penyejukan, dan memberikan rasa seperti di rumah walaupun berada di Timur Tengah, Eropah, atau ketika dalam transit yang panjang.


Encik Emran Bin Abd Wahid, Pengarah Urusan Kembara Food berkata, “Kami amat berbesar hati bekerjasama dengan MATA. Produk kami dihasilkan dengan penuh kasih sayang dan keaslian, agar pelancong bukan sahaja membawa makanan – tetapi membawa rasa Malaysia bersama mereka. ‘Rasa Asli, Nikmati Di Mana Sahaja’ bukan sekadar slogan, tetapi misi kami.”

Kerjasama ini juga dijangka akan diperluaskan dalam promosi pakej pelancongan Muslim, ekspo pelancongan, dan kempen perdagangan Islam pada masa akan datang.


Comments