PENGINAPAN TIDAK BERLESEN JEJASKAN INDUSTRI PELANCONGAN MALAYSIA: MYBHA DESAK TINDAKAN SEGERA KERAJAAN MENJELANG TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026 TERHADAP ANCAMAN INDUSTRI YANG SUDAH LAMA TERTANGGUH

Kuala Lumpur, 02 Jun 2025 –Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA®) menggesa Kerajaan Malaysia untuk bertindak segera dan tegas dalam menangani ancaman industri yang semakin meruncing iaitu berkaitan Penginapan Jangka Masa Pendek (STRA) yang tidak dikawal selia dan penjualan atau promosi penginapan tanpa lesen yang berleluasa di platform Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA) dan media sosial.

MyBHA menegaskan bahawa masa amat kritikal dan jika isu-isu atau ancaman utama ini tidak ditangani dengan segera, integriti, kelestarian, dan kejayaan TMM2026 akan terjejas.


EKONOMI SELARI: PENINGKATAN MEMBIMBANGKAN PENGINAPAN HARAM

Kewujudan unit STRA yang tidak berlesen dan tidak di kawal selia, termasuk apartmen, kondominium, dan kediaman persendirian yang ditukar menjadi penginapan sementara, telah mencetuskan satu ekonomi penginapan selari dan haram. Entiti ini beroperasi di luar rangka kerja undang-undang, tidak membayar lesen atau cukai, tidak terikat dengan aspek keselamatan, serta menjejaskan pemain industri pelancongan sah yang telah banyak melabur bagi mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan sedia ada. 

Pengusaha STRA tidak berlesen ini sedang menghakis kredibiliti dan kelestarian ekosistem pelancongan Malaysia. Ketiadaan pemantauan yang berkesan telah mengakibatkan pelbagai masalah, termasuk:

1. Risiko keselamatan kepada pelancong akibat kegagalan mematuhi peraturan keselamatan kebakaran dan kesihatan;

2. Gangguan terhadap komuniti kediaman akibat penginapan sementara yang tidak dikawal;

3. Kehilangan hasil cukai kepada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan persekutuan;

4. Penyelewengan harga pasaran yang merugikan pengusaha hotel yang sah;

5. Perlindungan pengguna yang lemah, membiarkan pelancong terdedah kepada penipuan dan premis yang tidak selamat.


PLATFORM DIGITAL MENJADI PEMANGKIN MASALAH

Pertumbuhan pesat platform-platform digital dan OTA telah memburukkan lagi keadaan. Walaupun pelbagai aduan dan sesi dialog telah diadakan, penginapan tanpa lesen masih terus dipromosikan secara terbuka dan dijual dalam talian, termasuk melalui OTA utama, laman iklan, dan semakin banyak di platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram.


MyBHA menyifatkan sebagai tidak boleh diterima apabila platform-platform digital, sama ada platform luar negara mahupun tempatan, meraih keuntungan daripada menyenarai dan mempromosikan penginapan-penginapan tidak berlesen atau yang haram tanpa sebarang tanggungjawab atau mekanisme pengesahan terhadap penginapan tersebut. Platform-platform ini hanya mementingkan keuntungan serta menutup mata terhadap kewujudan penginapan-penginapan tidak berlesen atau yang haram dan membenarkan perniagaan tidak sah ini berkembang sambil mengabaikan kesan buruk terhadap pengguna serta industri perhotelan dan penginapan yang berdaftar serta berlesen.


DESAKAN PENUBUHAN PASUKAN KHAS ANTARA KEMENTERIAN DAN TINDAKAN PENGUATKUASAAN

MyBHA menyeru pembentukan satu Jawatankuasa Khas antara Kementerian yang dipimpin oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk:

1. Segera memperkenalkan dan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan bagi semua penginapan sewa jangka masa pendek (STRA);

2. Memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menguatkuasakan undang-undang serta peraturan-peraturan secara konsisten dan tegas tanpa menjejaskan perniagaan hotel yang berlesen dan berdaftar;

3. Menetapkan piawaian operasi dan keselamatan minimum bagi semua penyedia penginapan.


Selain itu, MyBHA menggesa Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi untuk:

1. Memastikan semua platform digital dan OTA bertanggungjawab ke atas senarai penginapan yang disenaraikan atau diterbit di portal mereka;

2. Menguatkuasakan tanggungjawab undang-undang untuk mengesahkan status lesen sebelum membenarkan senarai penginapan diterbitkan;

3. Memperkenalkan piawaian tadbir urus digital dan penalti bagi platform yang membenarkan perdagangan haram;

4. Menghalang platform media sosial daripada menjadi pasar gelap bagi penginapan tidak berlesen;

5. Menapis, mengharamkan dan mengeluarkan penginapan yang tidak mematuhi (bukan hotel) daripada platform digital.Tanpa penguatkuasaan digital yang kukuh, usaha pelesenan di lapangan akan menjadi tidak berkesan dan akan menjadi sia-sia.


TINDAKAN LUAR NEGARA TERHADAP STRA MEMBUKTIKAN KEPERLUAN KAWAL SELIA UNDANG-UNDANG

Banyak negara di seluruh dunia telah mengambil tindakan tegas untuk mengawal selia STRA kerana kesannya terhadap kemampuan memiliki rumah, kesejahteraan komuniti dan sektor hospitaliti yang berlesen. Negara dan bandar seperti Singapura, New York, Amsterdam, Barcelona dan Tokyo telah melaksanakan keperluan pelesenan yang ketat, had bilangan hari sewaan, serta mekanisme penguatkuasaan untuk mengekang aktiviti STRA haram. Usaha global ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat mengenai keperluan untuk mengimbangi pertumbuhan pelancongan dengan persaingan adil dan pembangunan bandar yang mampan, satu pendekatan yang wajar diambil oleh Malaysia.


KEPERLUAN MENDESAK MENJELANG TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

TMM2026 merupakan peluang sekali dalam separuh dekad untuk memperkenalkan semula Malaysia kepada dunia sebagai destinasi pelancongan utama yang selamat dan mampan. Namun, kegagalan mengawal STRA dan penginapan haram ketika ini mengancam cita-cita tersebut. 


Malaysia tidak boleh membiarkan pengusaha haram meraih keuntungan daripada kempen pelancongan nasional yang dibiayai kerajaan, manakala hotel berlesen terpaksa menanggung beban pematuhan, bayaran lesen, cukai dan pemeriksaan. 


Keadaan ini menghukum yang jujur dan mengangkat yang culas, serta menghantar mesej negatif kepada industri pelancongan dan menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.


PENDIRIAN MYBHA

Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA®) mewakili hotel bajet dan bisnes termasuk resort yang berlesen serta mematuhi undang-undang di seluruh negara. Kami menjunjung nilai ketelusan, persaingan adil, keselamatan pengguna dan hospitaliti yang berkualiti.


Kami mengulangi sokongan penuh kami terhadap Tahun Melawat Malaysia 2026 dan bersedia memainkan peranan dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang mesra dan selamat. Namun, kami menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan tegas dan segera bagi memastikan:

1. Hanya perniagaan berlesen mendapat manfaat daripada kempen pelancongan nasional dan/atau negeri masing-masing;

2. Pelancong dilindungi melalui pengawasan peraturan yang sewajarnya;

3. Platform digital dipertanggungjawabkan atas penjualan penginapan haram;

4. Industri hospitaliti Malaysia kekal adil, berdaya saing dan mampan.

Masa untuk berbincang telah berlalu. Masa untuk bertindak adalah sekarang.

RUJUKAN:

https://www.theguardian.com/us-news/2024/apr/25/new-york-airbnb-short-term-rentalssublets

https://www.dutchnews.nl/2025/02/amsterdam-to-cut-illegal-rents-on-illicit-short-term-rentals/

https://apnews.com/article/airbnb-spain-rental-listing-a91e605f6342db1b169d4f9d1681e9d4

https://japanremotely.com/airbnb-minpaku-short-term-rental-rules-in-japan/

https://www.realestate.com.au/news/shock-as-65k-airbnb-rentals-banned-after-mega-courtcase/

https://uchijapan.com/news/minpaku-japans-rules-on-house-letting

Bagi dan atas Pihak Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA)


Comments