SERAHAN ADUAN KEPADA BANK NEGARA BERKENAAN SYARIKAT YANG DISYAKI TIDAK MEMPUNYAI LESEN UNTUK MENERIMA DEPOSIT DARI ORANG AWAM

Kuala Lumpur 10 September 2024 Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) adalah sebuah organisasi yang diasaskan atas dasar ingin membantu menegakkan hak-hak kemanusiaan. MHO telah ditubuhkan sejak tahun 2016 dan komited memperjuangkan hak-hak asasi manusia melalui aktiviti-aktiviti bantuan kemanusiaan bagi membantu semua pihak dalam aspek program kemanusiaan dan khidmat guaman.

Pihak MHO telah menerima 13 aduan daripada pengadu-pengadu yang menyatakan bahawa mereka adalah merupakan mangsa penipuan skim pelaburan yang ditawarkan oleh dua orang individu. Anggaran kerugian yang terpaksa ditanggung oleh para pengadu adalah sebanyak RM1,630,000.00. Individu-individu ini telah menggunakan beberapa syarikat untuk menerima deposit pelaburan dari orang awam. Mereka menawarkan satu program pelaburan pasaran emas. Para pengadu dijamukan dan disajikan dengan janji-janji yang menyatakan bahawa program pelaburan emas ini akan membawa untung yang besar. Mereka juga telah dijanjikan dengan satu pulangan faedah yang sangat besar dimana MHO menyedari bahawa janji-janji tersebut adalah merupakan kaedah individu-individu tersebut untuk mengaburi mata pengadu-pengadu ini. Pengadu-pengadu mengesyaki bahawa dividen atau faedah yang diterima oleh mereka adalah merupakan wang modal yang dibayar oleh mereka semasa menyertai program pelaburan emas ini.

Setelah semakan dan carian dilakukan ke atas syarikat yang terlibat ini, pengadu-pengadu ingin menyatakan bahawa syarikat ini tidak mempunyai sebarang kelulusan dan/atau lesen untuk menerima deposit dari orang awam yang lain. Apatah lagi untuk menerima wang bagi skim pelaburan emas yang ditawarkan oleh individu-individu tersebut, sudah semestinya pengadu-pengadu juga menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai kelulusan dan kebenaran untuk melakukan dan/atau menjalankan perkara ini. 


Apabila mangsa-mangsa telah bersetuju untuk menyertai skim pelaburan ini, mereka telah diminta untuk membayar ataupun menyerahkan wang pelaburan mereka kepada syarikat yang berkaitan tersebut. Pengadu-pengadu sekali lagi ingin menyatakan bahawa dengan janji-janji pulangan dividen yang besar, para pengadu mengesyaki telah ditipu dan diperdaya untuk mengikuti program skim pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut. Para pengadu juga ingin menyatakan bahawa mereka tidak pernah ditunjukkan dengan sebarang dokumen atau lesen yang memberikan kebenaran kepada syarikat tersebut untuk menerima deposit dari orang awam bagi program pelaburan yang dianjurkan oleh mereka ini dari Bank Negara Malaysia. 

MHO mengesyaki bahawa program skim pelaburan emas tersebut adalah tidak wujud dan memang tidak pernah dilaksanakan oleh individu-individu tersebut. Syarikat yang digunakan oleh individu-individu ini untuk menerima deposit dari pelabur adalah sebenarnya digunakan juga untuk mengaburi mata pengadu dengan menyatakan bahawa wang itu tidak diterima oleh individu-individu tersebut, tetapi ianya adalah diterima oleh sebuah syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia. 


Selain itu, para pengadu juga memaklumkan bahawa ada sebahagian daripada pengadu mempunyai inisiatif di mana mereka telah membuat pemeriksaan dan semakan di laman rasmi Bank Negara Malaysia, mereka tidak melihat bahawa syarikat tersebut disenaraikan sebagai sebuah syarikat yang dibenarkan serta mendapat kelulusan dari Bank Negara Malaysia untuk menerima sebarang deposit dari orang awam yang lain.

Para pengadu mengharapkan dan memohon supaya Bank Negara Malaysia dapat melakukan satu siasatan yang lengkap dan menyeluruh di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 serta dilakukan pertuduhan ke atas individu berkaitan dan/atau syarikat ini di bawah pertuduhan seksyen yang sama dibaca bersama Seksyen 4(1) "Anti-Money Laundering, Anti –Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001 (AMLA)". Para pengadu juga sudi dan akan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada Bank Negara untuk melengkapkan siasatan ke atas syarikat tersebut dan seterusnya dilakukan pertuduhan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 ini.


Oleh yang demikian, tujuan sidang media pada hari ini dilakukan adalah supaya satu siasatan yang menyeluruh dilakukan serta pertuduhan ke atas individu-individu yang bertanggungjawab di dalam syarikat tersebut. Ianya juga agar dapat dilakukan satu pertuduhan jenayah di Mahkamah supaya ianya menjadi iktibar kepada individu lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama serta mengambil kesempatan terhadap rakyat marhaen yang lain. 

Pihak MHO telah berjaya mendapatkan kerjasama daripada mangsa-mangsa atau para pengadu untuk hadir membuat satu sidang media untuk membuat serahan aduan kepada Bank Negara Malaysia berkenaan dengan pemasalahan yang dihadapi oleh para pengadu ini dan juga adalah supaya tindakan lanjut diambil terhadap aduan-aduan yang telah dikemukan.

Comments