HALO JE DELIVERY HADIR MAJLIS PERASMIAN HAB P-HAILING @ D'TEBING ANJURAN DBKL

 

KUALA LUMPUR, 16 Jun 2026 – Halo Je Delivery telah menghadiri Majlis Perasmian Hab P-Hailing @ D'Tebing "Recharge Rider" yang berlangsung pada jam 10.00 pagi di CafĂ© D'Tebing, Bulatan Dato' Onn, Kuala Lumpur.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur, sebelum sesi lawatan ke sekitar Hab P-Hailing @ D'Tebing diadakan.



Kehadiran Halo Je Delivery diketuai oleh Founder Halo Je, Tuan Haji Jalluddin bin Abu Hassan, bersama Pengarah Pembangunan Halo Je, Ariff Fadli bin Abd Wahab, serta pasukan rider Halo Je.

Sebagai platform penghantaran tempatan, Halo Je Delivery berbesar hati kerana diberi peluang untuk bersama-sama menjayakan program bersejarah ini di samping platform-platform utama industri P-Hailing negara.


Menurut Tuan Haji Jalluddin bin Abu Hassan, Halo Je sentiasa bersikap positif dan menyambut baik kehadiran semua platform lain seperti Grab, Foodpanda, Lalamove, Shopee dan pelbagai lagi pemain industri sebagai rakan strategik dalam ekosistem P-Hailing negara.

"Kita berada dalam satu industri yang sama. Kerjasama dan semangat saling menyokong antara platform amat penting dalam membina ekosistem yang sihat demi pembangunan ekonomi rakyat dan negara. Kita perlu bersatu dan bekerjasama sesama kita," katanya.


Sementara itu, Pengarah Pembangunan Halo Je, Ariff Fadli bin Abd Wahab berkata, Halo Je amat berbangga dan bersyukur kerana sebagai platform penghantaran tempatan, syarikat tersebut diberikan peluang untuk bersama-sama berdiri sebaris dengan platform-platform besar dalam program yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Peluang yang diberikan kepada Halo Je sebagai platform anak tempatan untuk turut serta dalam program ini merupakan satu penghormatan dan kejayaan yang amat bermakna buat kami. Ia membuktikan bahawa syarikat tempatan juga mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan industri P-Hailing negara," katanya.


Halo Je Delivery turut menegaskan komitmen syarikat untuk terus menyokong inisiatif kerajaan serta bekerjasama dengan semua pihak dalam memperkasakan kebajikan rider dan memperkukuhkan industri P-Hailing Malaysia.

Halo Je Delivery merupakan satu-satunya platform P-Hailing tempatan yang hadir bersama dalam program tersebut dan akan terus komited memperjuangkan pembangunan ekonomi rakyat melalui industri penghantaran yang mampan dan inklusif.

Comments