PENGUATKUASAAN KETIRISAN BARANG KAWALAN BERSUBSIDI DI SEMPADAN
PUTRAJAYA, 17 NOVEMBER 2020 - Isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri dari negara Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura merupakan salah satu perkara utama yang menjadi perhatian kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Umum mengetahui bahawa harga jualan barang kawalan di Malaysia yang lebih rendah serta bekalan yang mudah diperolehi merupakan faktor utama yang mempengaruhi peningkatan permintaan dari penduduk di negara-negara sempadan tersebut. Malah, kedudukan geografi seperti jarak persempadanan yang pendek antara dua negara serta wujudnya banyak lorong tikus telah menyebabkan aktiviti penyeludupan barang kawalan bersubsidi lebih mudah dilakukan. Selain itu, faktor demografi penduduk dan pertalian persaudaraan antara rakyat Malaysia dan rakyat negara jiran juga turut menyukarkan isu penyelewengan ini ditangani secara holistik.
Menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan adalah menjadi teras utama kepada Bahagian Penguat Kuasa, KPDNHEP. Walaupun isu penyelewengan barang kawalan di sempadan bukanlah suatu isu yang mudah ditangani, namun Bahagian Penguat Kuasa tetap meneruskan tindakan pro-aktif dan tegas dalam membendung isu penyelewengan barang kawalan ke negara sempadan melalui penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Antara langkah yang diambil oleh Bahagian Penguat Kuasa adalah operasi secara berterusan, menjalankan jaringan kerjasama antara agensi penguatkuasaan sempadan seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Pasukan Polis Marin, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Imigresen Malaysia,Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan melalui operasi bersepadu serta tindakan secara due diligence dengan mengadakan pengauditan di setiap rantaian pengedaran barang kawalan.
Tindakan-tindakan terkini yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa adalah pelaksanaan “Pelan Tindakan Membanteras Penyeludupan Barang Kawalan Bersubsidi Di Sempadan Malaysia-Thailand” yang bermula pada tahun 2019 dan pemantauan ke atas Arahan Pengawal Bekalan bagi Larangan Penjualan Petrol RON95 dan Diesel di Stesen Minyak Di Sempadan yang dikeluarkan pada September 2020.
Berdasarkan laporan statistik dari Tahun 2016 hingga Oktober 2020, kes yang dihasilkan oleh Bahagian Penguat Kuasa bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan melibatkan barang-barang kawalan bersubsidi adalah sebanyak 2,212 kes. Nilai rampasan bagi keseluruhan kes tersebut adalah sebanyak RM53,691,109.00. Manakala bagi kes-kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang diterima dari serahan agensi luar pula adalah sebanyak 671 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM10,422,814.25.
Bagi memastikan tindakan penguatkuasaan untuk membendung penyelewengan barang kawalan bersubsidi ini memberi impak secara lebih komprehensif, tindakan pengesyoran pembatalan lesen barang kawalan ke atas pemborong dan peruncit yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi turut dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa. Sejak tahun 2017 hingga 2019, sebanyak 14 buah syarikat pelesen barang kawalan telah dibatalkan lesen barang kawalan dan ini secara tidak langsung menunjukkan keseriusan Bahagian Penguat Kuasa dalam menangani aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di peringkat akar umbi demi menyelamatkan subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan.
Sehubungan itu, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, YBhg. Dato’ Iskandar Halim Bin Hj. Sulaiman ingin mengingatkan kepada para peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan perniagaan barangan kawalan berjadual dan bersubsidi serta memberi amaran kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tersebut bagi mengelak dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang.
Mana-mana orang yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan penalti seperti berikut:
(i) mana-mana orang perseorangan tetapi tidak termasuk Pengarah atau Pegawai suatu Badan Korporat / Syarikat / Perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah Akta ini, apabila disabitkan boleh dihukum denda tidak melebihi satu juta ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang kedua, denda tidak melebihi tiga juta ringgit atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduaduanya sekali.
(ii) Setiap Badan Korporat/Syarikat/Perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah Akta ini, apabila disabitkan kesalahannya boleh dihukum denda tidak melebihi dua juta ringgit dan bagi kesalahan kedua tidak melebihi lima juta ringgit.
Comments
Post a Comment